Friday, June 3, 2011

Gajah dan rantai

Lepaskan Rantai Itu...

Seorang penjaga gajah bercerita tentang bagaimana dia boleh membuat gajah tunduk patuh dan tidak takut gajah itu akan melarikan diri. Padahal tali yang dipakaikan ke gajah hanyalah seutas tali biasa.

Ia menceritakan bahawa sejak kecil gajah-gajah diikat kakinya dengan rantai besi yang sangat kuat. Rantai itu pun dikaitkan pada sebuah batang besi yang besar dan kuat tertanam.

Oleh itu, gajah kecil itu hanya mampu berjalan sepanjang rantai itu sahaja. Jika dia ingin melarikan diri, rantai itu akan menahannya.


Sekuat manapun gajah kecil itu mencuba, tentu akan sia-sia usahanya kerana rantai tersebut sangat kuat. dan kerana kekuatan gajah kecil masih lemah untuk melepaskan diri dari rantai itu.

Kejadian ini berterusan sehingga gajah meningkat dewasa.

Apa yang terjadi? Ternyata gajah tersebut menyerah dengan keadaan. Di fikirannya apa yang berada di pergelangan kakinya itu adalah rantai besi yang sama, yang kekuatannya jauh lebih besar darinya. Ia pun pasrah dengan apa yang dilakukan.

Di fikirannya pula apa yang dilakukan adalah semata-mata mengikut perintah dari penjaganya yang mengikatnya, tanpa berfikir panjang bahawa ia boleh lepas dan menjadi seperti yang ia inginkan.

Dengan demikian, penjaga gajah tidak rasa khuatir lagi akan gajah tersebut. Baginya mengikat gajah dengan rantai tak jauh beza dengan tali biasa.

Setiap hari, gajah hanya pasrah untuk dibawa ke ladang atau hutan untuk bekerja.

***
Sahabat semua, ramai dari kita yang mungkin merasa ada seutas rantai besi yang sangat kuat membelenggu diri kita. Mungkin rantai itu adalah kebodohan, kemiskinan, ketakutan atau keadaan yang tidak membantu meningkatkan taraf kehidupan kita.

Mungkin kita dibesarkan dan dididik dalam suasana dan persekitaran yang tidak mungkin membuat kita menjadi baik dan berjaya. Lihat saja, kemiskinan dan pola pemikiran orang-orang disekeliling kita begitu kuat tertanam dalam benak kita yang menjadikan kita menjadi berfikiran negatif dan pesimis.

Apabila mahu mencuba untuk mengubah nasib, yang ada dibenak kita….”bagaimana kalau gagal?”

Mungkin kita menganggap nasib sudah begini adanya. Tidak ada kata lain untuk berubah.
Sahabat, bukankah Tuhan memberikan kita bekal yang sama didunia ini? ada yang mendapat kurniaan Tuhan yang sangat luar biasa ada pada diri kita. Itu pun sebenarnya untuk menguji keimanan kita.

Namun, semua tergantung pada niat dan keteguhan hati apakah kita mampu mengubah keadaan. Tentu ada doa dan usaha yang berjalan seiring…

Kita tidak boleh menyalahkan keadaan . Semua itu sesungguhnya adalah Qada dan Qadar Allah untuk kita boleh/mahu belajar, tidak ada yang tidak mungkin sehingga Tuhan Menghendaki,,,

Kita boleh melepas “rantai” itu , rantai yang membuat kita terkongkong, membuat kita tidak yakin akan masa depan yang gemilang…

Para sahabat semua, tetaplah semangat, tetaplah yakin Tuhan memberi jalan yang terbaik buat kita, di dunia atau mungkin di Akhirat kelak selama ada do’a,keyakinan, usaha, dan tawakkal..

Tidak ada yang boleh mengubah nasib kita melainkan diri kita sendiri. Lepaskanlah minda kita dari rantai itu.
Via: Wujud

No comments: